Sunday, June 5, 2011

التفريط فى عمل اليوم والليل


التَّفْرِيطُ فيِ عملِ اليومِ واللَّيلِ

AT-TAFRIITH FI ‘AMALIL-YAUMI WA-LAIL

(CUAI DALAM IBADAH HARIAN)

DEFINISI

At-Tafriith –melalaikan, sia-siakan hingga luput, al-Quran menyebut,

“Supaya jangan ada orang mengatakan, ‘Amat besar penyesalanku atas kelalaiku dalam (menunaikan kewajipan) terhadap Allah…” (Az-Zumar:56)

Maksudnya bertaubatlah dan serahkanlah diri kepada Allah, jika tidak pasti kamu akan menyesal.

‘Amal al-yaumi wal-lalati – Kewajipan harian mesti dipelihara sama ada urusan dunia atau akhirat.

Dari segi bahasanya ialah lalai atau abaikan kewajipan yang mesti dipelihara secara rutin, samada urusan dunia atau akhirat.

Dalam konteks amal Islami dibataskan kepada lalai atau cuai dalam ibadah yang sepatutnya dipelihara secara terus-menerus seperti meninggalkan solah wajib, abaikan solah rawatib, tinggalkan solah malam, witir dan dhuha, tidak membaca al-Quran, tidak berzikir, berdoa, beristighfar, jarang melakukan muhasabah an-nafs, terlambat ke mesjid, tidak hadir liqa’ jamaah tanpa alasan, tidak solah berjamaah tanpa uzur syarie, tidak lakukan amal soleh dan abaikan amal ijma’iyyah seperti zirahi pesakit, hantar jenazah, tidak ambil kisah tentang masyarakat..

PUNCA-PUNCA

1. Bergelumang Dalam Maksiat

Muslim tidak menjaga perbuatan maksiat, terjebak dalam dosa-dosa kecil. Maha benar firman Allah swt,


“Dan apa sahaja musibah menimpa kamu sesungguhnya disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahanmu)” (asy-Syuura:30)

Hasan al-Basyri menyatakan tentang ayat ini: “Ketika turun ayat ini, Rasulullah saw bersabda, ‘Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNya, tidaklah seorang terguris oleh dahan kayu, tersungkur oleh akar kayu atau batu, dan tergelecohnya kaki, kecuali akibat dosa pernah dilakukannya, namun dosa yang Allah telah memaafkan lebih banyak lagi” (Tafsir Al-Quran al-Azhiim, Ibnu Kathir)

Musibah menimpa kita mempunyai hubungan sangat erat dengan dosa pernah dilakukan.

Salafusy Soleh sedari impak fenomena tersebut. Adh-Dhahaak Berkata: “Kami tidak mengetahui dari seseorang yang menghafal al-Quran lalu lupa, kecuali kerana dosa dilakukannya, lalu beliau baca ayat di atas dan melanjutkan dengan mengatakan, ‘Musibah apa lagi yang lebih besar kecuali lupa al-Quran”.

Hasan al-Basyri ditanya seseorang: “Wahai Abu said, sesungguhnya aku telah bermalam dalam keadaan baik, aku ingin melaksanakan qiamullail, aku persiapkan air untuk mengambil wudhu, tapi kenapa aku tidak bangun?” Al-hasan menjawab: “Dosa-dosamu telah mengikatmu

Sofyan As-Tsauri berkata: “Aku tidak dapat melakukan qiamullail selama lima bulan kerana dosa yang pernah aku buat.” Seseorang bertanya, “Apakah dosa itu?” Ia menjawab, “Aku pernah melihat seseorang menanggis, kemudian aku berkata dalam hati, ‘Orang ini telah riya’”

Ibnu Qayyim berkata: “Di antara kesan buruk dari maksiat ialah terhalang kita melakukan ketaatan….. Dosa juga akan memutuskan seseorang dari kebaikan yang lebih baik dari dunia dan segala isinya. Ianya sama seperti seseorang makan makanan yang menyebabkan ia mengidap penyakit berpanjangan sehingga tidak dapat makan makanan lebih baik lagi

2. Berlebihan Dengan Perkara Harus (Mubah)

Makan, minuman, pakaian, perhiasan, kenderaan, hubungan seks yang dapat melahirkan sifat malas kerana terlalu letih. Imam Ghazali mengatakan guru/ibubapa mengingatkan muridnya di meja makan dan mengatakan: “Wahai para pelajar, janganlah kamu makan terlalu banyak, kerana menyebabkan kamu banyak minum, banyak tidur, dan menyebabkan kamu menyesal ketika kamu mati”

3. Tidak Menghargai Nikmat dan Tidak Tahu Cara Membalasnya.

Nikmat Allah sungguh banyak dan tidak dapat dihitung, sama ada dapat dilihat, rasa atau tidak firmanNya;

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya” (Ibrahim:34)

“Dan Allah telah menyempurnakan nikmatNya untukmu, zahir (nampak) atau batin (tidak nampak)” (Luqman:20)

Untuk membalas nikmat Allah swt ialah dengan cara mensyukurinya, firman Allah swt,

“Jika kamu mensyukuri (nikmatKu) nescaya Aku akan menambahkan (nikmatKu) itu kepadamu….” (Ibrahim:7)

Di antara cara mensyukuri nikmat Allah swt ialah menunaikan kewajipan harian, firmanNya

“Kerana itu, ingatlah kepadaKu, nescaya Aku akan selalu ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mngingkari (nikmat)Ku”(al-Baqarah:152)

Hasan al-basyri berkata: “Sesungguhnya Allah sentiasa mengingati hamba yang mengingatiNya, akan menambah anugerah nikmat kepada hamba mensyukuri nikmatNya, akan menyiksa hamba yang mengingkarinya” Sa’id bin Jubir barkata, “Ingatlah Aku dengan cara mentaati Ku, nescaya Aku akan mengingatimu dengan maghfirahKu”

4. Tidak Dapat Gambaran Betul Ganjaran Pahala daripada Allah swt

Ganjaran disediakan Allah sangat banyak antaranya:

i. Diselamatkan Allah dari kesengsaraan dan kedahsyatan hari kiamat, firmanNya

“Dan Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.”(Az-Zumar:61)

“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara mesti (berlaku) telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu.”(Maryam:71-72).

ii. Memperolehi kenikmatan dalam syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga, tidak terlintas dalam fikiran. Kemuncak segala nikmat itu ialah bertemu secara langsung dengan Allah swt

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; yang demikian itulah kejayaan besar.”(At-Taubah:72)

“Untuk orang-orang berbuat baik ada pahal terbaik dan tambahannya. Muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.”(Yunus:26)

“Ttidak ada seseorang pun mengetahui apa yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandangmata, sebagai balasan terhadap apa telah mereka kerjakan”(As-Sajadah:17)

Bila gambaran dan keyakinan jelas pasti mereka sentiasa berusaha menjaga amalan hariannya. Ibnu al-Jauzi berkata: “Barangsiapa telah dapat melihat sinar pahala, nescaya tugas yang berat menjadi ringan”

5. Lupa Mati dan Malapetaka Selepasnya

Lupa kematian atau hari kiamat yang pasti berlaku. Tentang kematian Allah swt berfirman,

“Setiap jiwa pasti akan merasai mati….” (Ali ‘Imran:185)

“Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”(al-Anbiyaa’:34)

Bahkan kematian itu dekat, lebih dekat daripada tali kasut seseorang, firman Allah swt,

“Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang akan membinasakan mereka semasa mereka sedang bertengkar (merundingkan urusan dunia). Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang wasiat, dan tidak sempat kembali kepada keluarganya.” (Yaasin:49-50)

Kedatangan hari kiamat itu satu kepastian, dahsyatnya tidak dapat digambarkan, firman Allah swt

“Maka bagaimana kamu dapat menyelamatkan diri kamu, jika kamu tetap kufur ingkar kepada hari yang menyebabkan kanak-kanak beruban? Langit akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah pasti berlaku.”(Muzammil:17-18)

“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat kegoncangan itu, tiap-tiap ibu akan melupakan anak yang disusunya, dan perempuan yang mengandung akan gugur ikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.” (al-Hajj:1-2)

“Dan berilah merekaperingatan tentang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, menahan perasaan sampai kekerongkong dengan menahan sedih. Orang-orang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat” (al-Mukmin/Ghaafir:18)

Mereka yang lalai akan terjerumus kepada tafriith. Suatu hari Rasulullah saw melintas kelompok sahabat sedang ketawa. Beliau bersabda kepada mereka;

“Jika kamu banyak mengingati penghapus kelazatan, nescaya kamu sibuk dengan apa yang aku lihat, iaitu kematian. Maka selalulah mengingati mati.” (HR Tarmizi & Nasaai’)

6. Menganggap Diri Sempurna

Walau pun banyak beramal tapi masih tidak seimbang dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Amalan bukan jaminan untuk menyelamatkan diri daripada azab Allah swt, kerana seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga bukan kerana amalannya tapi kerana rahmat Allah swt. Sabda Rasulullah saw;

“Orang cerdik ialah mereka merendah diri (tidak rasa sempurna) dan bekerja untuk selepas matinya. Orang lemah ialah mereka mengikut hawa nafsu dan berangan-angan kepada Allah”(HR Tarmizi dan Ibn Majah)

Umar ibn Khattab berkata: “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab…. Sesungguhnya hisab pada hari kiamat akan menjadi ringan bagi mereka yang menghisab diri di dunia”

Maimun bin Mahraan pula berkata: “seorang hamba tidak bertaqwa sehingga ia menghisab dirinya sebagaimana ia menghisab kawannya”

7. Terlalu Banyak Tugas dan Tanggungjawab

Bebanan tugas dan tanggungjawab bukan sebagai alasan meninggalkan kewajipan harian, kerana keberkatan waktu, kekuatan kehendak, ketajaman tekad dan ketepatan pandangan hanya diberikan kepada mereka menjalin hubungan dengan Allah swt. FirmanNya;

“Dan orang-orang yang menerima petunjuk, Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi mereka (dorongan) bertaqwa.” (Muhammad:17)

“…..Dan barangsiapa bertaqwa kpd Allah nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar, membari rezeki dari sumber tidak disangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kpd Allah nescaya allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakanketentuan bagi setiap sesuatu.”(ath-Thalaq:2-3)

8. Tangguh Kerja

Menangguhkan kerja menyebabkan kerja bertimbun, akibatnya untuk selesaikan terpaksa berkoban hingga tafriith kewajipan harian. Umar al-Khattab berkata; “Orang kuat bekerja ialah mereka tidak menangguhkan kerja pada hari ini untuk hari esok”

Rasulullah saw bersabda;

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa muda sebelum tua, sehat sebelum sakit, kaya sebelum fakir, lapang sebelum sibuk, hidup sebelum mati” (HR Ibnu Abi Dunia)

8. Orang Menjadi Uswah Tafriith

Kepimpinan dan orang bertanggungjawab mempunyai peranan besar dalam menggerakkan amal Islami. Kecuaian mereka akan meranapkan jentera jamaah. Kepincangan mereka menjadi contoh dalam masyarakat, khususnya berkait dengan kewajipan harian akan menyebabkan anggota masyarakat mencontohi mereka. Sebab Islam mengecam mereka melakukan maksiat dan lebih berat jika dilakukan secara terbuka. Sabda Rasulullah saw;

“Setiap umatku dilindung, kecuali mereka nyatakan secara terbuka, iaitu mereka lakukan dosa pada malam hari, pada waktu paginya Allah menutup perbuatan tersebut, tetapi ia berkata; ‘Wahai saudara, semalam aku melakukan ini dan itu’ (HR Bukhari dan Muslim)

AKIBAT TAFRIITH

1. TERHADAP PERIBADI AMILIN

i. Kegelisahan dan Keresahan Jiwa

Ketenteraman, kerehatan jiwa hanya diperolehi melalui memelihara kewajipan harian. Allah swt berfirman;

“Dan sesiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”(Thaha:124)

“Sesiapa berpaling pengingatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan ke dalam azab yang sangat berat.” (al-Jinn:17)

ii. Futur (Malas dan Tidak Bersemangat)

Melaksanakan kewajipan harian adalah bekalan. Mensia-siakan bermakna keringlah bekalan, akibatnya dijangkiti penyakit lemah, malas dan futur. Sabda Rasulullah saw;

“Syaitan mengikat tengkuk pada waktu tidur dengan tiga ikatan. Setiap ikatan ia hembus sambil berkata: ‘Malam masih panjang! Tidurlah!’ Jika ia bangun dan berzikir kpd Allah, lepaslah satu ikatan. Jika ia berwudhu’, terlepas ikatan kedua. Seterusnya ia solat, terlepas ikatan terakhir. Dengan itu ia kembali segar dan jiwanya merasa damai. Kalau tidak, ia akan malas dan jiwanya kusut” (HR Bukhari)

iii. Berani Melakukan Maksiat

Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah sebagai perisai maksiat. FirmanNya;

“Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”(al-Ankabuut:45)

Termasuk juga dalam tafrith ialah ibadah yang dilakukan dengan tidak khusyu’ yang menyebabkan ia tidak menjadi benteng antaranya dengan maksiat. Inilah yang dimaksudkan oleh Ibnu Abbas;

“Barangsiapa solatnya tidak boleh memerintahnya berbuat ma’aruf dan mencegah dari kemungkaran, bererti tidak menambahkan sesuatu dengan solatnya, melainkan bertambah jauh daripada Allah” (HR Ibnu Jarir)

iv. Lemah Fizikal

Memelihara kewajipan harian bukan sahaja bekalan kepada jiwa tapi ia menyumbang kepada kekuatan fizikal, firmanNya ttg perkataan Nabi Daud;

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada….” (Huud:52)

Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah saw berpesan kepada Ali dan Fatimah yang meminta seorang pembantu rumah supaya sebelum tidur ucapkan tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu dan mengatakan ianya lebih baik daripada kehadiran seorang pembantu rumah.

v. Menyekat Bantuan dan Pertolongan Allah

Bantuan dan taufik daripada Allah hanya diberikan kepada orang konsisten dan iltizam menjalin hubungan dengan Allah swt, firmanNya

“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang bertaqwa dan ihsan”(An-Nahlu:128)

“Orang-orang berusaha bersungguh-sungguh di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin ke jalan-jalan; dan sesungguhnya Allah berserta orang berusaha membaiki amalannya.”(al-Ankabuut:69)

Bukan sahaja terhalang daripada pertolongan Allah, tetapi Allah akan ganti kepada mereka syaitan sebagai pembantunya, firmanNya;

“Sesiapa tidak mengendahkan pengajaran Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah Syaitan itu teman yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat hidayah ” )Az-Zukhruf:36-37)

vi. Hilang Kewibawaan dan Pengaruh

Mereka ini melenyapkan prestasi diri di hadapan Allah, sedangkan Allahlah memberi kesan dan pengaruh kedalam hati manusia. Orang tiada kedudukan di sisi Allah tidak akan dihargai oleh manusia. Tepat sebagaimana sabda Rasulullah saw;

“Manusia akan mengerumuni kamu sebagaimana orang lapar mengerumuni makanan dalam hidangan”, Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah kerana jumlah kami sedikit?’ rasul menjawab, ‘Bahkan jumlah kamu banyak, tapi sebagai buih pada air bah. Allah mencabut rasa takut dalam dada musuh dan mencampakkan waham dalam hati kamu’ Seorang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah waham itu?, Jawab baginda, ‘Cintakan dunia dan takutkan mati”

2. TERHADAP AMAL ISLAMI/PERJUANGAN ISLAM

i. Panjangnya Perjalanan dan Banyaknya Bebanan

Amal Islami didokong golongan tafriith ia akan menjadi panjang, lelah, meletihkan dan mudah dikucar-kacirkan oleh musuh. Allah swt berfirman tentang perkataan Nabi Soleh as

“..Sipakah akan menolongku dari (azab) Allah jika aku mendurhakaiNya” (Hud:63)

ii. Tidak Mampu Bertahan Ketika Menghadapi Ujian

Tobiat ujian atas jalan dakwah sangat keras dan pedih. Tidak mampu menghadapi, walau pun digerakkan seluruh kekuatan, potensi dan daya dimiliki, kecuali pertolongan dan bantuan Allah swt. Bagaimana Allah hendak membantu jika kita abaikan kewajipan kepadaNya?

“Sesungguhnya orang-orang berkata: "Tuhan kami ialah Allah” Kemudian dia istiqamah, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula akan berdukacita.” (al-Ahkaaf:13)

“Wahai orang-orang beriman, kalau kamu menolong (ugama) Allah nescaya Allah menolongmu dan meneguhkan pendirianmu.” (Muhammad:7)

Sabda Rasulullah saw kepada Ibnu Abba r.a.

“Ya Ghulam, aku ajarkan kamu beberapa kalimah: Peliharalah hak-hak Allah nescaya Ia akan memeliharamu, peliharalah hak Allah nescaya kamu akan mendapati Ia di hadapanmu (membelamu). Jika engkau memohon sesuatu maka mohonlah kepada Allah, jika engkau minta pertolongan maka mintalah kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berpakat untuk memberi manafaat kepadamu, mereka tidak akan dapat melakukannya, kecuali dengan ketentuan Allah. Telah diangkat kalam dan telah kering dakwat (semua sudah ditentukan).”(HR Tarmizi dan Ahmad)

CARA MENGATASI

1. Kembali Kepada Al-Quran dan Summah

Kedua sumber ini menjelaskan secara pasti pahala mereka taat dan balasan ‘azab bagi yang cuai. Renungan terhadap ayat-ayat Allah swt menjadi inspirasi dan motivasi memelihara ketaatan dan tinggalkan maksiat. Renugkan ayat berikau;

“Dan kembalilah kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kpdNya sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi. Dan ikutilah sebaik-baiknya apa telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab secara tiba-tiba kepadamu dalam keadaan kamu tidak sedari. Jangan ada yg mengatakan, ‘Amat besar penyesalanku atas kelalaianku menunaikan kewajipan terhadap Allah, sedangkan aku termasuk dikalangan orang memperolok-olokkan’ Atau jangan ada berkata, ‘Kalau sekiranya Allah memberi petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang bertaqwa’ Atau jangan ada yang berkata ketika ia melihat ‘azab, ‘Kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku termasuk orang-orang berbuat baik.’ Sebenarnya telah datang keterangan-keteranganKu kepadamu, lalu kamu mendustakan dan kamu menyombong diri, dan kamu termasuk orang-orang kafir” (Az-Zumar:54-59)

2. Bebaskan Diri Dari Semua Kemaksiatan Termasuk Dosa Kecil

Dosa ibarat racun mematikan atau api sentiasa membakar. Kalau racun merosakkan tubuh, dosa pula melumpuhkan jiwa. Sabda Rasulullah saw;

“Hindarilah dosa-dosa kecil kerana ia akan berkumpul dalam diri seseorang sehingga membinasakannya” (HR Ahmad)

3. Tidak melampau Dalam Perkara Mubah

Mujahadah terhadap kerakusan hawa nafsu, terutama makan minum sebab ianya punca kerosakkan. Sabda Rasulullah saw;

“Tidak ada tempat lebih buruk daripada perut anak Adam yang diisipenuh makanan. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang boleh menegakkan tulang belakangnya. 1/3 perut untuk makanan, 1/3 untuk minuman, dan 1/3 lagi untuk pernafasannya” (HR Bukhari)

4. Menghargai Nikmat

Mensyukuri dan menyedari bahawa nikmat hanya dapat dirasai, dikekalkan dan bertambah dengan cara memenuhi hak Allah swt, ketaatan kepadaNya.

5. Tawazun Dalam Menunaikan Kewajipan Harian dan Melaksnakan Tuntutan Ibadah Kepada Allah swt

Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak atas kamu, jiwamu ada hak atas kamu, keluargamu ada hak atas kamu. Maka bagilah hak masing-masing.”(HR Bukhari, at-Tarmizi)

6. Penguasaan Diri

Bermujahadah menguasai diri supaya dapat kendalikan ledakan nafsu mendorong supaya tafriith. Tinggalkan sikap menangguh kerja dengan mrnghiburkan hati terhadap ganjaran dan nikmat disediakan Allah pada hari akhirat.

7. Berwaspada Kesan Buruk Akibat Tafriith

8. Selalu Menyertai Jamaah, Hidup Di Tengah Orang-orang Soleh, Istiqamah, dan Sentiasa Mengingati Allah dan Sentiasa Berjuang Mempertingkatkan ‘Ubudiyah

Rasulullah saw bersabda kepada sahabatnya,

“Mahukah aku beritahu orang-orang pilihan antara kamu?” jawab mereka, “Mahu, wahai Rasulullah” Jawab baginda, “orang-orang pilihan antara kamu ialah orang selalu berzikir (mengingati) Allah” (HR Ibnu Majah)

9. Memohon Pertolongan Kepada Allah

Allah sentiasa menolong sipa memohon pertolonganNya, berlindung kepadaNya, bernaung di bawah hidayahNya, terutama ketika ditimpa bahaya dan ujian hidup. FirmanNya

“Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu nescaya aku kabulkan untukmu…” (Ghaafir:60)

“Atau siapakah memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah tuhan lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingatiNya.”(an-Naml:62)

10. Memahami Hakikat Dunia Tempat Bercucuk Tanam dan Akhirat Tempat Menuainya

Amat rugi mereka pergi ke akhirat tanpa bekalan ketaatan

No comments:

Post a Comment