Saturday, May 29, 2010

Terasa tak berdaya, namun usia ini sangat berharga


Salam kasih sayang kerana Allah untuk diriku dan seisi keluargaku,
Istimewa untuk kalian semua, hari ini sebentar lagi usiaku genap 44 tahun, 30 May 2010. Pada kelapangan ini ummi terpanggil untuk meneliti lebih mendalam tentang persoalan hati, khasnya cara-cara yang berkaitan meransang hati untuk sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah. Dalam memikirkan hal-hal berkaitan persoalan hati, terdetak di hati ummi sendiri satu hakikat yang mesti kita fahami; MAKSIAT boleh MENGGELAPKAN HATI dan membawa KESUSAHAN.

Terasa ngeri pula di hati. Lazimnya ummi lebih suka bercakap dan berdoa dari jauh dan dekat, tapi di kelapangan ini hati ummi kuat terpanggil untuk memaparkan penulisan ini. Kiranya usia ummi akan berakhir, paling kurang penulisan ini akan menjadi tatapan semua selepas ketiadaan ummi. Moga Allah tunjuki sebaik-baik perkataan untuk ummi menghuraikannya. Semoga hati ummi sendiri mampu membaiki kesalahan yang Allah perintah untuk dihindari.

Anak-anak dan suamiku,


Tentu kalian telah sedia maklum, maksiat adalah lawan taat. Kita bicarakan di ruang ini dalam rangka meneliti kebersihan hubungan kita terhadap Allah. Setiap diri mukmin sewajarnya berhati-hati dalam setiap langkahnya agar tidak terperangkap di dalam melakukan maksiat. Kerana maksiat akan memberi kesan buruk dalam kehidupan dan merosakkan segala amalan;

  1. Tidak beroleh ilmu bermanfaat. Ilmu adalah cahaya yang Allah SWT letakkan ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar ilmu.Imam Malik pernah menasihatkan Imam Syafie: "Saya mengetahui Allah telah meletakkan cahaya dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."
  2. Sukar beroleh rezeki yang berkat. Pada hakikatnya ketakwaan seorang hamba akan membawa kepada kemurahan rezekinya. Sedangkan meninggalkan takwa akan mendorong kepada kefakiran dan kemiskinan sebenar.
  3. Kerunsingan dan kesepian hati. Hati seorang yang melakukan maksiat tiada kedamaian. Dipenuhi kerunsingan dan keresahan. Walau tertompok harta kekayaan kepadanya, tetap juga dia gelisah dan tidak merasai kebahagiaan.
  4. Mendapat banyak kesulitan. Orang yang tidak bertakwa dan sentiasa melakukan maksiat akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kebuntuan dalam urusan hidupnya.
  5. Kegelapan hati.Perbandingan ini menggambarkan hatinya tertutup dari beroleh dan menerima pertunjuk ke jalan kebenaran. Jika ditunjuki jalan kebenaran, hatinya menolak dan terus ingkar.
  6. Melemahkan hati dan badan. Kekuatan diri mukmin terletak pada hatinya yang sihat dan disinari cahaya kebenaran.Sedangkan hati yang bermaksiat, gelap, rosak dan lemah. Dari itu anggota badan orang yang bermaksiat juga terjejas kekuatannya. Telah terbukti sekian lama diri yang gagah tapi hati bermaksiat tidak dapat mengalahkan diri kerdil yang teguh dan taat hatinya.
  7. Kehilangan taat. Dosa dan maksiat yang dilakukan menghalang diri dari terus taat. Sekiranya sudah tiada ketaatan, terputuslah jalan-jalan kebaikan dalam diri seseorang.
  8. Memendekkan umur dan mengikis keberkatan. Umur seseorang dikurangi dan menjadi pendek jika keberkatan hidupnya berkurangan. Keberkatan umur itu pula terletak pada hati yang sihat dan baik. Bermakna hati yang hidup, memberi hayat pada jasad. Jika hati mati, hidup jasad juga tidak membawa erti yang baik.

Anak-anak dan suamiku,



Sedapatnya hindarilah maksiat. Dan berlaku taatlah kepada Rabb kita, agar sentiasa disianari kebaikan seperti yang diucapkan oleh Abdullah bin Abbas:


"Sesungguhnya kebaikan itu memberi cahaya kepada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan. Serta kecintaan ramai orang terhadap dirinya. Ada pun maksiat dan perbuatan buruk memberi warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan,kekurangan rezeki dan rasa benci orang ramai kepadanya."



Sehubungan dengan hal ini, renungilah cebisan kisah berikut;



Seorang ulama sufi bernama Ibrahim Adham telah didatangi seorang lelaki yang terlalu lama melakukan berbagai-bagai maksiat yang berat. Lelaki itu mengadu kepada Ibrahim Adham, “Aku seorang pendosa yang sukar dan tak mungkin dapat keluar dari lembah maksiat. Ajarlah aku sesuatu yang boleh menyelamatkan dan memberhentikan aku dari lembah maksiat.”

Ibrahim Adham menjawab: “Kalau kamu boleh berpegang dengan lima perkara ini, nescaya kamu dijauhkan dari dosa dan maksiat":

  1. Jika akan melakukan maksiat, cari jalan Allah tidak melihatmu.
  2. Jika akan membuat dosa, jangan sesekali makan rezeki Allah.
  3. Jika masih berbuat dosa, jangan tinggal di bumi Allah lagi.
  4. Jika malaikat maut datang mencabut nyawa sebelum taubat,
  5. Tolaklah dia dan jangan biarkan nyawa kamu dicabut.
  6. Jika tiba-tiba malaikat maut mencabut nyawamu ketika melakukan dosa dan kemudian malaikat Malik akan memasukkan kamu ke neraka, mintalah hidup lagi untuk bertaubat menampal dosa.


Orang itu berubah wajah menjadi pucat, terlalu takut dan menginsafi dosa-dosanya. Sejak hari itu, orang-orang yang mengenalinya, mendapati lelaki itu menjadi ahli ibadah yang terhindar dari perbuatan-perbuatan dosa.



Anak-anak dan suamiku,

Sebagai kesimpulan, iman yang terisi di hati kita perlu sentiasa disuburkan. Ianya akan menjadi pengawal kuat dan umpama cahaya menerangi semua sudut hidup kita. Dengan iman, dosa akan terpadam dan hati hilang gelapnya. Lalu terbit sinar terang yang menyuluh pemiliknya menghayun langkah di jalan kebenaran. Hinggalah seterusnya terbit hubungan dan ikatan yang kuat dengan Allah. Di sinilah bermula langkah kepada jalan menuju kebahagiaan hakiki yang makmuran hidup insan sejagat.

Akhirnya ummi memohon maaf yang sesungguh-sungguhnya kerana ummi banyak kelemahan dan kerap tersilap dalam muasyarah seharian. Maaf zahir batin. Semoga kita sama-sama mendapat keampunan Allah swt dan mendokong Deen-Nya walau di mana dan bagaimana keadaan kita.



Wallahu’alam.
Ummi

Monday, May 10, 2010

Kalam siraman hatiku

Berhati-hati Debu Berterbangan Dalam Kerja

E-mail Print PDF

إحْذَرُوْا هَبَآءً مَّنْثُورًا فِى العمل

(Berhati-hati Debu Berterbangan Dalam Kerja)

Tanggungjawab Dirasai Bersama

Dalam menjalankan operasi mendidik dan berbakti, kita yang cintakan Islam hendaklah sentiasa cermat dan berhati-hati supaya amalan soleh yang dilakukan sentiasa menjurus kepada amal qowi. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab muslim yang sedar di semua peringkat untuk mewujudkan bi'ah (persekitaran) berkerja bagi semua mukmin sesuai dengan perkembangan, kemampuan, peningkatan cita-cita dan keluasan wawasan mereka. Jika bi'ah ini tidak diwujudkan, individu berpotensi tidak dapat disalurkan kepada amal soleh. Semua ini terangkum dalam makna nasihat dan mesti dilakukan oleh kepimpinan sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah saw:
مَامِنْ أمِيْرٍ يَلِى امْرَ الْمُسْلِمِيْنَ ثُمَّ لاَ يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إلاَّ لَمْ يَدْ خُلْ مََعَهُمْ الجَنَّةَ
Siapapun para pemimpin yang mengurus urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak berusaha keras untuk kemaslahatan mereka dan tidak pula menasihati mereka, maka ia tidak akan masuk syurga bersama mereka. (Riwayat Muslim.)

Hakikat هَبَآءً مَّنْثُورًا

Allah swt berfirman dalam al-Quraanul Karim, surah al-Furqan ayat 23:

Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

As-Syahid Syed Qutb dalam tafsir Fee Zhilali Qur'an menjelaskan;

Seperti itulah terjadi dalam sekelip mata. Ibarat amalan yang termasuk dalam kategori هَبَآءً مَّنْثُورًا seperti imajinasi yang akan hilang dengan pantas daripada gambaran pemikiran, diterbangkan dan dicerai-beraikan diudara. Sehingga semua yang mereka kerjakan di dunia dalam bentuk amal kebaikan menjadi hilang ditiup angin. Ianya terjadi kerana semua amal kebaikan yang mereka lakukan tidak di atas dasar keimanan – yang mengaitkan hati dengan Allah swt dan menjadikan amal saleh sesuai dengan manhaj yang telah digariskan dan dasar yang dikehendakki. Sehingga tidak ada nilai amal baik seseorang yang tidak berhubung dengan manhaj Allah swt. Tidak ada faedah gerakan yang dilakukan tanpa masuk dalam rangkaian gerakan yang mempunyai tujuan tertentu.

Dalam era pencinta Islam mula mengorak langkah ke dalam masyarakat untuk mencari anasir-anasir soleh supaya dapat digembelengkan dalam satu soff (barisan,) adalah sangat perlu diberi perhatian dan dimuhasabahi terus menerus agar gerak kerja dan aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan berada di atas landasan yang betul dan menuju kepada ghoyah yang sohih.

Faktor-faktor Amalan Jatuh ke Dalam هبآءً مَّنْثُورًا

1. Faktor Keikhlasan

Al Banna menjelaskan 3 perkara boleh merosakkan keikhlasan dan menjadikan amalan sia-sia:

  1. Beramal dengan tujuan untuk meraih kekayaan
  2. Beramal dengan tujuan untuk mendapat populariti, kedudukan atau gelaran
  3. Beramal dengan tujuan untuk mencapai kemajuan dan mengelakkan daripada kemunduran

Dr Majdi Al-Hilali, di dalam bukunya Menjadi Hamba Rabbani berkata; "Hamba Allah dan faktor kemenangan ialah dengan memurnikan niat hanya kepada Allah. Ia tidak melakukan perbuatan apa pun kecuali ia telah yakin akan keikhlasan niatnya kerana Allah. Ia tidak melakukan sesuatu untuk mendapatkan kehormatan di sisi manusia atau kerana malu kepada mereka atau supaya dikatakan seorang yang berani atau kerana adat dan kebiasaan."

2. Tergelincung Dari Matlamat

Ustaz Mustaffa Masyhur menjelaskan penyelewengan dari matlamat adalah di antara yang paling merbahaya sekali. Ia mesti dikawal seketat-ketatnya. Matlamat yang kita tujui dalam perjalanan kita ialah Allah swt. Dimaksudkan dengan penyelewengan dari matlamat ialah menuju kepada selain dari Allah atau sekurang-kurangnya menyengutukan Allah dengan tujuan-tujuan atau kehendak-kehendak keduniaan, atau keinginan rakus individu. Sebarang 'amal tidak diterima kecuali yang ikhlas kepada Allah. Bersih dari sebarang cemaran adalah perkara pokok kepada perjalanan dakwah.

3. Nafsu Menguasai

Dr Majdi Al-Hilali, melalui buku Menjadi Muslim Sejati seterusnya berkata, "Manusia tidak mempunyai kekuatan melawan nafsunya. Nafsu menjadi sangat disayangi dan apa yang diajaknya juga menjadi sesuatu yang dicintai. Lalu bagaimana kita harus melawannya sedangkan kita berada di antara tawanannya, bagaimana kita dapat mengalahkannya sedangkan kita lebih lemah apabila berada di hadapannya? Allah tidak meminta dari kita selain pengakuan bahawa kita tidak mempunyai kekuatan terhadap nafsu kita, dan jika dibiarkan menghadapinya, maka kita akan menjadi tawanan dan hamba nafsu diri kita sendiri. Lalu apa jalan keluarnya? Apakah pintu telah tertutup dan perang telah berakhir? Atau ada apa sebenarnya?

Ketika dipenjarakan, Ibnu Taimiyah tidak memperlihatkan kesedihan, sebaliknya bila ditanya ia berkata:

اَلْمَحْبُوْثُ مَنْ حُبِسَ قَلْبُهُ عَنْ رَبِّهِ وَالْمَأْسُوْرُ مَنْ أسَرَهُ هَوَاهُ

Orang yang dipenjara ialah orang yang dihalangi hatinya daripada TuhanNya, sedangkan orang yang ditawan ialah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya.

Amalan yang didorong oleh hawa nafsu walau pun zahirnya selaras dengan kehendak manhaj Allah swt akan menjadi هبآءً مَّنْثُورًا

4. Syirik Khafi

Syirik khafi boleh menjerumuskan kerja-kerja khidmat mukmin yang beramal ke dalam amalan هبآءً مَّنْثُورًا. Mengikut Dr As-Sayyid Muhammad Nuh melalui bukunya Pesan-pesan Nabi (Syarah Hadis Dalam Perspektif Dakwah dan Tarbiyah), syirik khafi ialah menjadikan amalan (gerak kerja), setelah niatnya ikhlas kerana Allah swt sebagai wasilah untuk mendapat habuan dunia. Syirik jenis ini dalam terminologi fiqh termasuk dalam syirik asyghar (kecil).

Di antara bentuk syirik seperti ini ialah:

  1. Seseorang yang aktif dalam melaksanakan khidmat sebagaimana dirancang dalam perancangan-perancangannya, ia mengerjakan dengan ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla, tetapi jika kerjanya dilihat oleh manusia ia sangat merasa senang dan bahagia bukan kepalang. Kadang-kadang ia cuba memancing orang lain supaya memberi perhatian kepada kerja dan aktivitinya dengan cara memperlihatkan kesibukan dan keletihan.
  2. Seseorang melaksanakan aktiviti ikhlas kerana Allah, tidak mahu dilihat oleh manusia lain dan merasa tidak selesa jika ada orang mengetahui kerjanya. Tetapi dia mengharap penghargaan, penghormatan, sanjungan dan keutamaan kepada dirinya. Jika tidak diberi jiwanya akan memprotes. Ia seolah-olah menuntut semuanya itu kerana aktiviti dan kerja yang tadi telah dilakukannya dengan ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah Azza wa Jalla. Saidina Ali bin Abi Talib r.a berkata, "Pada hari Kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman kepada para qari, 'Bukankah harga dimurah bagi kamu (dalam jual beli)? Bukankah orang lain mendahulukan salam kepada kamu? Bukankah keperluan-keperluan kamu dipenuhi?'

Beberapa dalil yang mengecam syirik khafi dalam rangka khidmat mendidik dan berbakti oleh orang muslim yang beramal adalah:

Sabda Rasulullah saw:

الشِرْكُ فِيْكُم أخْفَى مِنْ دَبِيْبِ النَّمْلِ

Syirik pada kamu lebih tersembunyi dibandingkan dengan semut yang merayap. (Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah saw lagi:

إنَّ أخْوَفَ مَا أخَافُ عَلَيْكُمْ الشِرْكُ الأصْغَرُ

Sesungguhnya syirik yang paling aku takutkan kepada kamu ialah syirik kecil. (Riwayat Imam Ahmad)

Juga sabda Rasulullah saw:

إنَّ الْيَسِيْرَ مِنَ الرِّيَاءِ شِرْكٌ

Sedikit riya' itu adalah syirik. (Riwayat Ibnu Majah)

5. Kemasyhuran

Seorang inginkan kemasyhuran sentiasa berusaha agar orang lain merasai kehadirannya. Jika ia duduk dengan orang ramai ia memperlihatkan kelebihan-kelebihannya supaya pandangan orang lain tertumpu kepadanya. Di antara keinginan nafsu yang tinggi ialah merasa tinggi dan mempunyai kelebihan. Ketinggian apa yang melebihi daripada kekaguman manusia terhadapnya dan memujinya?

Diriwayatkan pada suatu hari Saidina Umar r.a. masuk masjid, kemudian dia melihat Muadz bin Jabal sedang menangis di pusara Rasulullah saw. Umar berkata: "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Mu'adz berkata "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya riya' yang sedikit termasuk syirik dan sesungguhnya Allah mencintai orang bertaqwa dan tersembunyi (tidak disedari) apabila mereka tidak hadir dan apabila mereka hadir orang tidak tahu, hati mereka seperti obor hidayah yang terhindar dari segala kegelapan."

'Urwah bin Zubair r.a. telah berkata, "Aku melihat Umar bin Khattab r.a. sedang memikul bekas berisi air di atas belakangnya, lalu aku berkata, "Wahai Amirul Mukminin, anda tidak seharusnya melakukan perkara itu. Ia berkata, "Ketika utusan datang, kemudian mereka mendengar dan mentaatiku, kesombongan memasukki jiwaku, maka aku ingin merobohkannya"

6. Pujian

Pujian adalah fatamorgana yang dihajatkan oleh nafsu. Nabi saw memberi peringatan kepada seorang sahabat ketika ia mendengar pujian yang diberikan kepada sahabat yang lain dengan mengatakan:

وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقُ صَاحِبَكَ

Celakalah engkau, engkau telah memotong leher sahabatmu. (Muttafaq 'alahi)

At-Tsauri berkata:

فَاِنْ لَمْ تَكُنْ مُعْجِبًا بِنَفْسِكَ فَإِيَّاكَ اَنْ تُحِبَّ مَحْمَدَةَ النَّاسِ وَمَحْمَدَتُهُمْ اَنْ تُحِبَّ اَنْ يُكَرِّمُوْكَ بِعَمَلِكَ، وَيَرَوْا لَكَ بِهِ شَرَفًا وَمَنْزِلَةً فِى صُدُوْرِهِمْ

Apabila kamu sudah tidak 'ujub pada diri, kamu juga mesti menjauhi sifat 'suka dipuji'. Bukti bahawa kamu suka pujian orang adalah bahawa kamu ingin agar mereka menghormati kamu kerana sesuatu amal yang kamu lakukan dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan kamu di hadapan mereka.

Pujian ditujukan kepada kerja yang kita lakukan atau ucapan yang telah kita sampaikan. Orang memuji mempunyai tujuan tertentu, sedangkan kita sendiri mengetahui hakikat sebenarnya apa yang ada pada diri kita, tetapi kita lupa atau terpedaya. Fudhail bin 'Iyadh mengemukakan parameter supaya kita dapat mengukur dan mengetahui hakikat diri sendiri.

اْنَّ مِنْ عَلاَمَةِ الْمُنَافِقِ اَنْ يُحِبَّ الْمَدْحَ بِمَا لَيْسَ فِيْهِ، وَيَكْرَهَ الذَّمِّ بِمَا فِيْهِ، وَيَبْغَضَ مَنْ يَبْصُرُهُ بِعُيُوْبِهِ

Sesungguhnya di antara tanda-tanda orang munafik, adalah bahawa ingin mendapat pujian dengan perkara yang tidak ada padanya, sedangkan ia membenci terhadap celaan yang ada pada dirinya, dia marah kepada orang yang memandang berbagai kekurangan yang ada pada dirinya.

Begitulah hebatnya peperangan dan tipudaya syaitan untuk menjadikan amal dan kerja yang baik kita lakukan; tenaga, masa, wang ringgit kita korbankan, kesihatan yang kita pertaruhkan agar semuanya itu menjadi هبآءً مَّنْثُورًا

7. Kedudukan dan Kepimpinan

Jiwa manusia sangat mencintainya. Ia menuruti hawa nafsu dan hatinya yang sangat mencintai imarah (pemerintah). Rasulullah saw melarang kita daripada menuntut dan bercita-cita terhadapnya. Maka barangsiapa memintanya, bermakna ia meminta dunia melaluinya. Dalam sebuah hadis dinyatakan:

إنَّكُمْ سَتَحْرِصُوْنَ عَلَى الْلإمَارَةِ وَسَتَكُوْنُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Kamu akan sangat bercita-cita untuk kepimpinan dan kamu menyesal pada hari Kiamat." (HR Bukhari)

Di antara indikator hubbu riyasah telah menyelinap masuk dalam jiwa seseorang ialah ketika ia menerima tanggungjawab kepimpinan, kita akan melihat wajahnya sangat gembira dan ceria. Sebaliknya jika ditarik jawatan itu daripadanya kelihatan ia sangat sedih, dukacita dan mengelabah.

8. Riya’ dan Ujub

'Ujub ialah merasa kagum dengan diri sendiri. Seorang yang 'ujub terdedah kepada dua keadaan: tergelincir dan tersungkur ke bumi. Imam Syafi'e menjelaskan:

Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas daripada harga yang sesuai untuk dirinya, maka Allah akan mengembalikannya kepada harga yang sesuai.

'Ujub terjadi apabila seseorang memperkecilkan dosa dan kesalahannya serta melupakan sebahagian besar daripadanya. Sikap meremeh dan 'menyerang' orang lain adalah salah satu aspek 'ujub yang paling menonjol daripada sifat 'ujub. Sufyan at-Tsauri memberi peringatan tentang fenomena 'ujub dengan mengatakan:

Sifat 'ujub adalah kekaguman pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari saudaramu, pada hal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali ia lebih wara' darimu terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah, dan lebih bersih amalannya.

Al-Fudhail bin 'Iyadh lebih fokus kepada sifat 'ujub 'merasa amalnya lebih dan melupakan dosanya' dengan mengatakan:

إذْظَفَرَ اِبْلِيْسُ مِنْ اِبْنِ آدَمَ بِاِحْدَىْ ثَلاَثٍ خِصَالٍ قَالَ: لاَأطْلُبُ غَيْرَهَا: إعْجَابُهُ بِنَفءسِهِ، وَاسْتِكْثَارُهُ عَمَلَهُ، وَتِسْيَانُهُ ذُنُوْبَهُ

Apabila iblis telah berjaya melakukan tiga perkara pada diri anak Adam, ia akan berkata: 'Aku tidak akan menuntutnya dengan perkara lain lagi'. Tiga perkara tersebut ialah dia ujub pada dirinya sendiri, dia merasa amalnya sudah banyak, dan dia melupakan dosa-dosanya.

'Ujub adalah punca kepada segala bencana dan fitnah bagi seorang hamba. Apabila seseorang itu dikuasai oleh 'ujub dengan mudah ia akan melakukan dosa-dosa lain yang disukai iblis sebagaimana diungkapkan oleh nabi Isa a.s:

Betapa banyak pelita yang dipadamkan oleh angin, dan betapa banyak ibadah yang dirosakkan oleh sifat 'ujub.

Amal soleh adalah sinar dan cahaya. Ia akan berubah menjadi mendung apabila ditiup oleh angin 'ujub walau pun hanya dengan sekali hembusan sahaja boleh menjerumuskan amalan seseorang kepada هبآءً مَّنْثُورًا.