Saturday, May 29, 2010

Terasa tak berdaya, namun usia ini sangat berharga


Salam kasih sayang kerana Allah untuk diriku dan seisi keluargaku,
Istimewa untuk kalian semua, hari ini sebentar lagi usiaku genap 44 tahun, 30 May 2010. Pada kelapangan ini ummi terpanggil untuk meneliti lebih mendalam tentang persoalan hati, khasnya cara-cara yang berkaitan meransang hati untuk sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah. Dalam memikirkan hal-hal berkaitan persoalan hati, terdetak di hati ummi sendiri satu hakikat yang mesti kita fahami; MAKSIAT boleh MENGGELAPKAN HATI dan membawa KESUSAHAN.

Terasa ngeri pula di hati. Lazimnya ummi lebih suka bercakap dan berdoa dari jauh dan dekat, tapi di kelapangan ini hati ummi kuat terpanggil untuk memaparkan penulisan ini. Kiranya usia ummi akan berakhir, paling kurang penulisan ini akan menjadi tatapan semua selepas ketiadaan ummi. Moga Allah tunjuki sebaik-baik perkataan untuk ummi menghuraikannya. Semoga hati ummi sendiri mampu membaiki kesalahan yang Allah perintah untuk dihindari.

Anak-anak dan suamiku,


Tentu kalian telah sedia maklum, maksiat adalah lawan taat. Kita bicarakan di ruang ini dalam rangka meneliti kebersihan hubungan kita terhadap Allah. Setiap diri mukmin sewajarnya berhati-hati dalam setiap langkahnya agar tidak terperangkap di dalam melakukan maksiat. Kerana maksiat akan memberi kesan buruk dalam kehidupan dan merosakkan segala amalan;

  1. Tidak beroleh ilmu bermanfaat. Ilmu adalah cahaya yang Allah SWT letakkan ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar ilmu.Imam Malik pernah menasihatkan Imam Syafie: "Saya mengetahui Allah telah meletakkan cahaya dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."
  2. Sukar beroleh rezeki yang berkat. Pada hakikatnya ketakwaan seorang hamba akan membawa kepada kemurahan rezekinya. Sedangkan meninggalkan takwa akan mendorong kepada kefakiran dan kemiskinan sebenar.
  3. Kerunsingan dan kesepian hati. Hati seorang yang melakukan maksiat tiada kedamaian. Dipenuhi kerunsingan dan keresahan. Walau tertompok harta kekayaan kepadanya, tetap juga dia gelisah dan tidak merasai kebahagiaan.
  4. Mendapat banyak kesulitan. Orang yang tidak bertakwa dan sentiasa melakukan maksiat akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kebuntuan dalam urusan hidupnya.
  5. Kegelapan hati.Perbandingan ini menggambarkan hatinya tertutup dari beroleh dan menerima pertunjuk ke jalan kebenaran. Jika ditunjuki jalan kebenaran, hatinya menolak dan terus ingkar.
  6. Melemahkan hati dan badan. Kekuatan diri mukmin terletak pada hatinya yang sihat dan disinari cahaya kebenaran.Sedangkan hati yang bermaksiat, gelap, rosak dan lemah. Dari itu anggota badan orang yang bermaksiat juga terjejas kekuatannya. Telah terbukti sekian lama diri yang gagah tapi hati bermaksiat tidak dapat mengalahkan diri kerdil yang teguh dan taat hatinya.
  7. Kehilangan taat. Dosa dan maksiat yang dilakukan menghalang diri dari terus taat. Sekiranya sudah tiada ketaatan, terputuslah jalan-jalan kebaikan dalam diri seseorang.
  8. Memendekkan umur dan mengikis keberkatan. Umur seseorang dikurangi dan menjadi pendek jika keberkatan hidupnya berkurangan. Keberkatan umur itu pula terletak pada hati yang sihat dan baik. Bermakna hati yang hidup, memberi hayat pada jasad. Jika hati mati, hidup jasad juga tidak membawa erti yang baik.

Anak-anak dan suamiku,



Sedapatnya hindarilah maksiat. Dan berlaku taatlah kepada Rabb kita, agar sentiasa disianari kebaikan seperti yang diucapkan oleh Abdullah bin Abbas:


"Sesungguhnya kebaikan itu memberi cahaya kepada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan. Serta kecintaan ramai orang terhadap dirinya. Ada pun maksiat dan perbuatan buruk memberi warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan,kekurangan rezeki dan rasa benci orang ramai kepadanya."



Sehubungan dengan hal ini, renungilah cebisan kisah berikut;



Seorang ulama sufi bernama Ibrahim Adham telah didatangi seorang lelaki yang terlalu lama melakukan berbagai-bagai maksiat yang berat. Lelaki itu mengadu kepada Ibrahim Adham, “Aku seorang pendosa yang sukar dan tak mungkin dapat keluar dari lembah maksiat. Ajarlah aku sesuatu yang boleh menyelamatkan dan memberhentikan aku dari lembah maksiat.”

Ibrahim Adham menjawab: “Kalau kamu boleh berpegang dengan lima perkara ini, nescaya kamu dijauhkan dari dosa dan maksiat":

  1. Jika akan melakukan maksiat, cari jalan Allah tidak melihatmu.
  2. Jika akan membuat dosa, jangan sesekali makan rezeki Allah.
  3. Jika masih berbuat dosa, jangan tinggal di bumi Allah lagi.
  4. Jika malaikat maut datang mencabut nyawa sebelum taubat,
  5. Tolaklah dia dan jangan biarkan nyawa kamu dicabut.
  6. Jika tiba-tiba malaikat maut mencabut nyawamu ketika melakukan dosa dan kemudian malaikat Malik akan memasukkan kamu ke neraka, mintalah hidup lagi untuk bertaubat menampal dosa.


Orang itu berubah wajah menjadi pucat, terlalu takut dan menginsafi dosa-dosanya. Sejak hari itu, orang-orang yang mengenalinya, mendapati lelaki itu menjadi ahli ibadah yang terhindar dari perbuatan-perbuatan dosa.



Anak-anak dan suamiku,

Sebagai kesimpulan, iman yang terisi di hati kita perlu sentiasa disuburkan. Ianya akan menjadi pengawal kuat dan umpama cahaya menerangi semua sudut hidup kita. Dengan iman, dosa akan terpadam dan hati hilang gelapnya. Lalu terbit sinar terang yang menyuluh pemiliknya menghayun langkah di jalan kebenaran. Hinggalah seterusnya terbit hubungan dan ikatan yang kuat dengan Allah. Di sinilah bermula langkah kepada jalan menuju kebahagiaan hakiki yang makmuran hidup insan sejagat.

Akhirnya ummi memohon maaf yang sesungguh-sungguhnya kerana ummi banyak kelemahan dan kerap tersilap dalam muasyarah seharian. Maaf zahir batin. Semoga kita sama-sama mendapat keampunan Allah swt dan mendokong Deen-Nya walau di mana dan bagaimana keadaan kita.



Wallahu’alam.
Ummi

No comments:

Post a Comment